Selasa, 29 Oktober 2019

Hiasi peribadi

Assalamualaikum

Salam sejahtera, salam kemesraan. Blog "Perjalanan Koi" ini adalah blog peribadi koi yang seterusnya. Ia akan koi gunakan bagi meluahkan apa yang ada di hati dan pemikiran koi. Perjalanan ialah rentetan hidup koi, kaca mata koi dan koi akan kupas pengalaman koi untuk tatapan pembaca dan melontarkan pemikiran koi. Koi pula bermaksud 'Aku', yang digunakan oleh kebanyakan orang Pahang.

     Perjalanan Koi atau Perjalan Aku ini, adalah satu suara hati yang mampu dilontarkan untuk diberi ruang dalam perbahasan kehidupan harian kita. Ianya bukanlah formal, tetapi koi akan cuba memberikan hujahan dan fakta dalam memberi pandangan sepanjang perjalanan koi. InshaAllah.

    Dalam kita berbicara hal-hal yang sering menjadi viral sama ada hal politik, sosial, ekonomi, budaya, keagamaan dan sebagainya, kita haruslah juga melihat diri kita dalam skop berkenaan. Di mana kita, siapakah kita, apa yang kita lakukan, bagaimana kita ambil tindakan dan sebagainya. Kita melihat ramai murid di sekolah sekarang bermasalah. Gengsterisme, buli, tidak hormati guru, tidak mahu belajar, melawan guru, bermain gajet permainan melampau dan sebagainya. Cuba lihat kembali diri kita waktu kita seumur dengan mereka, adakah kita juga mempunyai masalah sebegitu? Adakah kita memahami perasaan mereka? Jadi, kita perlu tangani apa yang berlaku dengan 'HIKMAH'. Hiasi peribadi kita dahulu, muhasabah dan ambil tindakan yang terbaik tanpa merosakkan niat kita dan hati atau perasaan orang lain. Ibarat jari yang menunjuk, satu jari ke arah orang lain, empat pula kepada kita sendiri.